Sunday, May 24, 2009

Tip Menulis

Banyakkan Bab

Semasa anda merangka isi kandungan buku anda, banyakkan jumlah bab. Bab yang banyak membantu pembaca lebih faham buku anda. Ia juga memudahkan pembaca mencari dengan cepat bab yang dia hendak baca. Setiap bab pula ditulis antara 3 hingga 5 halaman sahaja. Bab yang pendek memudahkan pembaca habis membaca satu-satu bab dalam masa yang singkat. Ini banyak membantu individu yang sibuk dan tidak ada masa yang panjang bagi membaca. Sambil duduk tunggu bas ataupun lrt tiba, pembaca berjaya habis membaca satu ataupun dua bab.

Bayangkan jika buku anda ada lima bab sahaja. Setiap bab pula ada 40 halaman. Tentu sukar bagi pembaca memahami apa yang hendak cuba disampaikan oleh penulis. Ini kerana pembaca terpaksa membaca sampai habis 40 halaman bab itu barulah dia faham. Apa akan jadi jika pembaca terpaksa berhenti membaca separuh bab dan menyambung membacanya semula esok harinya. Tentu dia sudah tidak ingat apa yang dibaca. Jadi dia terpaksa baca semula bab itu dari awal.

Bab yang panjang menyebabkan pembaca mudah bosan. Akhirnya pembaca tidak habis membaca buku anda itu.



Satu Perenggan Satu Idea


Apabila anda menulis, pastikan setiap idea yang anda cuba sampaikan berada dalam satu perenggan. Jangan campurkan banyak idea dalam satu perenggan. Oleh itu, semasa menulis, selesaikan dahulu menyampaikan satu idea di dalam satu perenggan. Selepas itu barulah buat perenggan baru bagi menyampaikan idea lain pula.

Cuba bayangkan apabila anda pergi ke zoo, anda dapati semua binatang berada di dalam satu kurungan. Jika begitu keadaannya sudah tentu sukar bagi anda melihat setiap binatang itu. Ia juga sudah tentu membahayakan binatang-binatang itu. Apa tidaknya, gajah, harimau, singa, monyet, buaya, badak sumbu dan binatang lain lagi berada di dalam satu kandang, Sudah tentu mereka bercakar antara satu sama lain. Sebab itulah, apabila anda pergi ke mana-mana zoo di Malaysia, setiap binatang berada di dalam kurungan yang berbeza. Jadi senang bagi anda melihat setiap binatang itu.

Begitu juga di dalam penulisan. Sebaiknya, habiskan membincang satu idea di dalam satu perenggan sebelum berpindah membincangkan idea seterusnya.

Guna Ayat Aktif


Apabila menulis, banyakkan mengguna ayat aktif daripada ayat pasif. Ini kerana ayat aktif lebih bersifat aksi. Ianya menyampaikan terus maksud, ayatnya lebih pendek dan tidak mengunakan perkataan yang tidak perlu. Sebagai contoh:

Ayat aktif: Saya makan nasi.
Ayat pasif: Nasi dimakan oleh saya.

Dalam contoh ayat di atas, ayat aktif ada 3 perkataan manakala ayat pasif ada 4 perkataan. Ayat aktif lebih mudah dan cepat kita faham manakala ayat pasif lambat untuk kita faham. Ini kerana susunan subjek dan predikatnya di dalam ayat pasif terbalik di mana subjeknya berada di belakang.

Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna ayat pasif langsung tidak boleh digunakan. Apabila anda tidak mahu mendedahkan subjek atau pelaku sesuatu perbuatan, ayat pasif sesuai digunakan. Sebagai contoh:

Ayat pasif: Hari ini, semua data dalam server pejabat dipadamkan.
(Tujuan penulis hendak menyembunyikan orang memadamkan data dalam server)

Ayat aktif: Hari ini Mahmud memadamkan semua data dalam server pejabat.
(Tujuan penulis hendak mendedahkan siapa yang memadamkan data dalam server)


Buang Perkataan Tidak Perlu


Apabila menulis buku bukan fiksyen, pastikan anda menulis apa yang perlu dan penting sahaja. Elakkan menulis menggunakan bahasa berbunga-bunga kecuali anda menulis buku fiksyen. Dengan kata lain, dalam satu ayat, tiada perkataan yang tidak perlu. Begitu juga di dalam satu perenggan, tiada ayat yang tidak perlu. Oleh itu, semasa menulis, guna perkataan dan ayat yang perlu sahaja.

Pernahkah anda mendengar istilah KISS. Ianya adalah ringkasan kepada 'Keep It Simple and Short'. Istilah ini selalu digunakan di dalam bidang pengurusan terutamanya aspek komunikasi. Dalam bahasa Melayu ianya bermaksud 'Pastikan Ia Mudah dan Pendek'. Dengan kata lain, pastikan apa yang kita tulis mudah dan pendek. Dengan cara itu, apabila pembaca membaca buku anda, mereka mudah faham kerana tulisan anda mudah dan pendek.

Buang Perkataan Berulang
Perkataan berulang dalam satu ayat berlaku apabila penulis mengulang perkataan ataupun idea. Perkataan yang berulang ini mempunyai maksud yang sama. Sebagai contoh:

Rumah itu bersaiz besar. (Perkataan berulang)
Rumah itu besar. (Lebih baik)

Di dalam contoh ayat di atas, perkataan besar sudah menggambarkan saiz rumah itu besar. Jadi tidak perlu menggunakan perkataan bersaiz kerana ia membawa maksud yang sama. Buang sahaja perkataan bersaiz. Dengan cara itu, ayat anda menjadi lebih pendek.

Perkataan ataupun frasa berulang boleh dibuang dan ianya tidak akan mengubah maksud ayat. Berikut contoh perkataan berulang:

Perkataan Berulang
Guna Perkataan Ini
gabung bersama
gabung
keputusan akhir
keputusan
hasil akhir
hasil
pulang semula
pulang
fakta sebenar
fakta
banyak kumpulan-kumpulan
banyak kumpulan
tampil menarik
menarik
baju warna biru
baju biru
pengalaman lalu
pengalaman



Buang Penekan Maksud
Perkataan penekan maksud sebagaimana contoh di bawah sebaiknya tidak digunakan langsung di dalam ayat. Apabila anda banyak menggunakan kata penekan maksud, ia menunjukkan anda emosional dan tidak objektif.

Contoh perkataan penekan maksud:

Penekan MaksudContohContoh
palingBangunan itu paling tinggi di dunia.Bangunan itu tertinggi di dunia.
amatAhmad amat sedih kerana ibunya baru meninggal.Ahmad sedih kerana ibunya baru meninggal.
tersangatLubang telaga di belakang rumah tersangat dalam.Lubang telaga di belakang rumah dalam.
sangatRahimah anak yang sangat sopan.Rahimah anak yang sopan.
terlalu Ibu terlalu sayangkan Sofia.Ibu sayangkan Sofia.
teramatAiman teramat rindukan ibunya.Aiman rindukan ibunya.

Kesemua perkataan penekan maksud ini dianggap lemah dan tidak perlu. Anda tidak perlu menggunakan kata penekan maksud semata-mata hendak mengukuhkan perkataan lain yang sudah sedia kukuh. Ini hanya membazir sahaja dan menambah jumlah perkataan dalam ayat.


Guna Perkataan Mudah


Apabila anda menulis, gunakan perkataan yang mudah dan biasa orang dengar. Seboleh-bolehnya, gunakan perkataan yang dapat difahami oleh paling tidak orang yang hanya berkelulusan SPM dan ke atas. Perkataan yang anda gunakan sama ada kata nama, kata kerja ataupun kata sifat perlulah yang mudah dan biasa orang dengar.

Elakkan mengguna perkataan bombastik, atau dengan kata lain perkataan baru yang jarang orang dengar. Ramai penulis suka menggunakan perkataan bombastik semata-mata ingin menunjukkan kepada pembaca bahawa dia seorang yang tinggi pelajaran. Secara tidak langsung penulis begini mahu pembaca kagum dengan diri dan tulisannya.

Ingat, tujuan anda menulis ialah supaya pembaca faham apa yang anda hendak sampaikan. Tiada gunanya jika perkataan yang anda guna dalam buku anda bunyinya hebat tetapi pembaca langsung tidak faham.

Bagaimana hendak menukar satu-satu perkataan yang anda rasa sukar difahami? Senang sahaja. Buka kamus seerti atau tesaurus bagi melihat pilihan perkataan seerti yang anda rasakan mudah dan biasa didengar oleh pembaca.

Jadual berikut adalah contoh perkataan yang sukar difahami dan sebelahnya adalah perkataan yang mudah bagi menggantikan perkataan yang sukar itu.

optimum - maksimum
komprehensif - lengkap
negosiasi - berunding
polemik - debat
tribulasi - derita
postur - gaya
bahana - akibat
simpton - tanda-tanda
ongkos - belanja
sofistikated - canggih
koordinator - penyelaras
respons - reaksi
kostum - pakaian
kapasiti - upaya
kontradiksi - berlawanan
konservatif - kolot
komplemen - melengkapi
konsisten - tetap



No comments:

Post a Comment